BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, December 2, 2009

Kalimah Cinta


Cinta, apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan cinta? Siapa yang boleh memberikan definasinya? Entahlah, tak siapa yang paham maksud cinta tapi ramai yang merasainya. Mungkin sudah lumrah, kita akan bertindak mengikut hati melakukan perkara yang disukai walaupun kita sendiri tak faham mengenainya. Ya, ada orang kata cinta itu universal. Betul ke? Saya agak setuju dengan pendapat ini kerana cinta mempunyai banyak cabangnya. Cinta pada Allah, cinta pada Rasul, cinta pada ibubapa, namun cinta antara uda dan dara, Romeo dan Juliet, bolehkah ia dianggap sebagai cinta? Perlu diketahui cinta adalah salah satu daripada kurniaan Allah kepada manusia. Ruang lingkup cinta terlalu luas sebenarnya namun manusia yang sering mengecilkannya. Cinta makhluk kepada Yang Maha Esa adalah cinta yang paling agung antara segala cinta. Kerana itulah para shuhada’ menentang musuh dengan penuh keberanian tanpa bimbang terkorban dalam perjuangan. Cinta Rasulullah kepada umatnya dapat dilihat dengan jelas sewaktu peristiwa baginda dibaling batu oleh orang-orang Taif. Sewaktu malaikat Jibrail bertanya kepada baginda apakah baginda ingin Allah menurunkan bala kepada penduduk Taif, baginda menyatakan bahawa mereka belum mengenal kebenaran malah baginda mendoakan agar hati mereka terbuka untuk menerima syiar Islam. Begitu juga cinta para sahabat yang dalam kepada Rasulullah hinggakan sanggup berada di samping Rasulullah walaupun nyawa mereka terancam. Mungkinkah cinta bermaksud kasih sayang, atau belas kasihan atau mungkin juga ia adalah suatu tanggungjawab? Ianya terpulang kepada seseorang individu untuk mentafsirkan sendiri istilah cinta.
Cinta..kadang-kadang kerana cinta manusia jadi liar, kerana cinta manusia jadi hipokrit, kerana cinta manusia jadi rakus! Cinta yang dimaksudkan ialah istilah cinta bagi remaja sekarang. Sudah menjadi kebiasaan zaman sekarang, dimana, apa yang sering terjadi ialah hubungan cinta antara teruna dan dara di luar lingkup perkahwinan. Dalam menuju kedewasaan, minat meminati dalam kalangan berlainan jenis adalah sesuatu yang lumrah. Namun apa yang amat menyedihkan ialah ramai yang terbawa-bawa dengan hubungan cinta ini hingga sanggup berkorban segala-galanya untuk orang yang dicintai padahal si dia belum lagi bergelar suami ataupun isteri yang sah. Bak kata orang tua-tua, “ nasi lemak buah bidara, sayang selasih kulurutkan, buang emak, buang saudara, kerana kekasih kuturutkan.” Cuba kita renung sejenak memikirkan sikap remaja kita yang mendefinasikan cinta sebagai kasih sayang antara seorang lelaki dan perempuan yang bukan muhrimnya namun berkelakuan mengalahkan pasangan suami isteri. Berpegangan tangan, berpelukan sudah menjadi kebiasaan bagi mereka. Cukup menyedihkan! Kita disediakan dengan pelbagai kemudahan pendidikan namun mengapa masih ada diantara mereka ini yang bertindak seperti orang yang tidak ada ilmu pengetahuan agama? Ini hanyalah secoret kelakuan sumbang yang dapat kita lihat dengan mata kasar. Bagaimana pula dengan kes khalwat, buang anak dan pelbagai perlakuan yang mengaibkan ini boleh terjadi? Bukankah ianya berpunca daripada perasaan cinta yang mereka tafsirkan? Lupakah mereka akan azab yang bakal ditanggung diakhirat kelak? Lupakah mereka pada firman Allah : ‘ jangan kamu menghampiri zina.’ Firman ini jelas menggambarkan betapa tegasnya Allah melarang sama sekali perbuatan zina. Disini saya mahu timbulkan satu persoalan...bukankah cinta juga mendorong manusia melakukan zina? Adakah ia juga turut ditegah oleh Yang Maha Esa?
.......Zulaikha cuba menggoda Nabi Yusuf dan menarik baju yang dipakainya.....
Disini, ingin saya buka lipatan sejarah, menyingkap kisah cinta yang tak lapuk dek panas, tak lekang dek hujan. Kisah cinta Nabi Allah, yusuf (AS) dan Zulaikha. Mungkin ramai di antara kita yang mengetahui kisah kekacakan Nabi Yusuf (AS) sehinggakan Zulaikha, ibu angkatnya sendiri jatuh cinta padanya. Nabi Yusuf disumbatkan ke dalam penjara setelah Al-Aziz, pembesar mesir pada masa itu yang juga merupakan suami Zulaikha tidak tahu apa yang patut dilakukannya setelah peristiwa Zulaikha cuba menggoda Nabi yusuf (AS) dan menarik baju yang dipakainya hingga terkoyak di belakang. Namun, dengan izin Allah, seorang bayi yang kebetulan ada di situ berkata-kata dan membersihkan nama Nabi Yusuf yang suci. Selepas peristiwa itu, Zulaikha menjadi gila kerana tidak dapat menahan rasa cintanya pada Nabi Yusuf hingga Al-Aziz terpaksa melepaskannya.
Setelah 12 tahun berlalu, Nabi Yusuf (AS) dibebaskan dari penjara dan akhirnya baginda diangkat menjadi raja. Hinggalah pada suatu hari, ketika Nabi Yusuf berjalan-jalan di pasar, baginda terjumpa seorang perempuan tua yang gila dan asyik menyebut-nyebut namanya. Rupa-rupanya perempuan tua itu ialah Zulaikha. Dengan izin Allah, Zulaikha menjadi muda kembali hasil mukjizat Nabi Yusuf (AS) dan mereka berkahwin.
“ Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan untukmu nikmatku serta telah aku redha Islam sebagai agama kamu.” ( Surah Al-Maida : 30 )
Setelah peristiwa itu, Zulaikha menemui cinta yang lebih abadi, Zulaikha kini benar-benar bersyukur kerana Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang telah memberikan peluang kedua kepadanya. Cinta Zulaikha terhadap Nabi Yusuf telah luput digantikan dengan cinta makhluk kepada Penciptanya hingga tidak mempedulikan Nabi Yusuf sendiri yang suatu waktu dulu digilainya. Menurut ceritanya, Nabi Yusuf telah menarik baju Zulaikha yang asyik beribadat. Peristiwa ini bolehlah diumpakan sebagai qisas kerana dahulu Zulaikha pernah menarik baju Nabi Yusuf. Yusuf kemudian memberitahu Zulaikha bahawa dari mereka akan lahir nabi-nabi yang akan membawa kebenaran.
Nah, bagaimana pendapat anda? Sesunggunya ketahuilah, pada manusia, pada makhluk, tidak dinamakan cinta, hanya kasih dan sayang seorang hamba. Cinta remaja sekarang adalah cinta yang berlandaskan nafsu semata-mata, jadi tidak hairanlah mengapa remaja sekarang sanggup tinggalkan pelajaran, keluarga, dan ada juga yang sanggup melupakan kerjaya. Rasanya, tidak perlulah cinta sebegini diadakan sehinggakan boleh mencemarkan aqidah seseorang. Bukankah jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan? Bukankah lelaki yang baik hanya untuk perempuan yang baik, dan lelaki yang buruk hanya untuk perempuan yang buruk, dan perempuan yang baik hanya untuk lelaki yang baik, dan perempuan yang buruk hanya untuk lelaki yang buruk? Surah Ar-Rum : 21, “ Dan diantara tanda-tandaNya, Dia menciptakan jodoh untukmu dari dirimu supaya kamu bersenang-senang kepadanya dan Dia mengadakan kamu kasih sayang dan rehat. Sesungguhnya pada yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. ” Benar, kita perlu berusaha untuk mendapatkan sesuatu, termasuk juga soal jodoh dan pertemuan namun biarlah ianya selari dengan batas-batas yang telah ditetapkan oleh syara’. Wassalam..

1 comments:

Anonymous said...

cinta itu indah.. tetapi selalunya cinta itu dikaburi oleh nafsu. sekiranya tidak dibendung maka cinta itu akan terlitup semuanya oleh nafsu, sehingga sukar lagi mengenal baik buruknya